Tuesday, 19 November 2013

Misteri Budak Remaja Hilang Di Villa Nabila Terjawab



Semuanya sudah terjawab, budak hilang di Villa Nabila sudah ditemui, tidur di rumah kawan, tak pasal-pasal rumah kosong di Danga Bay Johor Bahru itu dapat nama, satu Malaysia punya kecoh, hingga malam semalam jadi macam pesta depan rumah hantu itu dan boleh agak kalau riuh macam itu hantu pun 'angkat bungkus'... lari malam...

Itulah 'kuasa media baru'.

Bayangkan bagaimana fakta dan mitos bercampur dan menyebabkan panik yang bukan-bukan...

Hakikatnya budak yang hilang itu, Mohamad Izzat Izzudin Hussin, 16, berada di rumah seorang kawannya di Bandar Dato Onn, Johor Bahru.



Mangsa difahamkan bersama rakannya memasuki Villa Nabila awal pagi Ahad sebelum keluar menerusi pintu belakang dan membuat keputusan tidak pulang ke rumahnya, sebaliknya tidur di rumah rakannya.

Susulan kehilangan Izzat, keluarganya membuat laporan polis dan kes itu kemudian mendapat perhatian orang ramai yang membuat tanggapan mangsa itu hilang di villa berkenaan dan kononnya `disorok' penunggu banglo lama berkenaan.

Ibunya Norhayati Mohamad, 39, berkata, polis memaklumkan kepada beliau bahawa anaknya telah ditemui di sekitar pukul 2 pagi Selasa.

"Saya lega kerana saya benar-benar percaya bahawa makhluk halus telah mengambil anak saya," katanya ketika dihubungi.

"Dia menyatakan lupa jalan untuk pulang ke rumah seolah-olah ada individu yang membawanya ke suatu lokasi.

"Kemudian dia dibantu seorang lelaki yang memberi perlindungan di rumahnya," katanya ketika dihubungi pagi tadi.

Norhayati berkata, beliau berjaya bercakap dengan anaknya secara ringkas dan anaknya memberitahu bahawa dia telah terlupa untuk memberitahu ibunya di mana dia berada.

"Dia tidak pernah hilang seperti ini sebelum ini, sekarang saya hanya berasa lega, " katanya, sambil menambah anak lelakinya itu masih disoal siasat oleh pihak polis pada masa ini.

Sebelum ini dilaporkan bahawa seorang remaja lelaki telah hilang selepas dia dilihat memasuki bangunan terbiar di Danga Bay di Johor Bahru pada sabtu.

Turut dilaporkan bahawa sekumpulan 23 kanak-kanak juga telah hilang.

Polis, bagaimanapun, menafikan laporan yang kedua.

Portal pelancongan yang berpangkalan di AS, Expedia baru-baru ini menyenaraikan Danga Bay sebagai antara lima tempat yang paling berhantu di Malaysia kerana lokasi Villa Nabila.

Banglo ini terletak di atas bukit yang menghadap ke Selat Johor.-19/11/2013


Ini 'kuasa baru' media sosial... bayangkan bagaimana satu rumah kosong, boleh jadi topik yang diperkatakan jutaan orang melalui berbagai medium media sosial, facebook, twitter, instagram...

Kadang-kadang kita naik 'seram' fikir macam mana satu-satu perkara boleh jadi 'viral' begitu dahsyat terutamanya ketika fakta dan mitos bercampur.

Al kisah Villa Nabila kononnya rumah kosong yang paling berhantu di Johor, nombor lima paling berhantu di Malaysia dan nombor 10 di seluruh dunia.

Entah siapa yang pergi periksa rumah-rumah berhantu ini pun tak ada yang tahu... cuma ia tersebar, meluas melalui media sosial.

Kononnya juga, Villa Nabila ini ditinggalkan selepas terjadi kes bunuh melibatkan budak kecil Nabila yang dibunuh orang gaji dan disimen di dalam dinding.

Sekali lagi, entah betul entah tidak, tapi itulah yang tersebar.

Villa Nabila jadi popular tiba-tiba kerana tersebarnya cerita kononnya 30 orang yang masuk ke rumah tersebut hilang secara tiba-tiba.


Bagaimanapun, Bernama melaporkan hanya seorang remaja lelaki dilaporkan hilang selepas dikatakan mengunjungi sebuah rumah lama yang terbiar di Jalan Skudai, berhadapan Pantai Lido, di Johor Bahru.

Menurut Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan Supt Abdul Samad Salleh kehilangan Mohamad Izzat Izzudin Husin, 16, disedari ibunya, Norhayati Mohamad, 38, semalam apabila dia tidak pulang ke rumah di Kampung Hajah Hasnah, Majidee, di Johor Bahru, sejak keluar pada Sabtu.

"Norhayati kemudian menghubungi salah seorang daripada rakan Mohamad Izzat Izzudin lalu dimaklumkan bahawa remaja terbabit telah pergi ke rumah tersebut yang lebih dikenali sebagai 'Villa Nabila'.

"Wanita terbabit kemudian pergi mencari sendiri Mohamad Izzat Izzudin di villa tersebut sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Danga Bay, di Johor Bahru, pada kira-kira pukul 1 pagi tadi selepas gagal menemui remaja berkenaan," katanya kepada pemberita yang ditemui di lokasi terbabit, pada Isnin.

Abdul Samad berkata sepasukan polis bersama unit anjing pengesan dan pasukan bomba digerakkan ke villa itu untuk melakukan operasi mengesan remaja terbabit, bagaimanapun, belum menemuinya sehingga kini.

Beliau berkata kes berkenaan diklasifikasikan sebagai orang hilang dan sehubungan itu polis turut menafikan khabar angin yang tersebar di laman sosial Facebook dengan mendakwa sekumpulan 23 remaja hilang selepas masuk ke dalam villa berkenaan manakala tujuh lagi berjaya keluar dari bangunan itu.

Katanya, setakat ini pihaknya hanya menerima satu laporan polis berhubung orang hilang dan menggesa orang ramai supaya tidak menyalurkan maklumat yang tidak tepat hingga boleh mengelirukan pelbagai pihak.

Sementara itu, orang ramai didapati mengerumuni perkarangan pintu masuk villa tersebut sejak malam tadi hingga menyebabkan kesesakan lalu lintas di sepanjang Jalan Skudai, pagi ini.

Villa tersebut yang terdiri daripada tiga buah bangunan yang sudah usang berusia 40 tahun lepas sering dikaitkan dengan pelbagai kejadian mistik hingga menjadi tumpuan orang ramai termasuk luar negara khususnya pengkaji aktiviti paranormal.

Salah seorang remaja yang masuk ke villa terbabit, Megat Irfan Abdullah Shariman, 16, ketika ditemui berkata beberapa rakannya diserang histeria selepas 20 minit berada di dalam bangunan itu.

"Saya masuk ke bangunan itu sekadar suka-suka bersama 30 yang lain (termasuk Mohamad Izzat Izzudin) pada pukul 12.30 tengah malam, awal hari Ahad. Apabila terjadi histeria, kami semua bergegas keluar dan mendapatkan pertolongan dari sebuah masjid berhampiran.

"Saya tidak menyangka ada di kalangan kami yang hilang selepas semuanya bersurai kerana saya sendiri pun tidak berapa mengenali ramai yang lain," katanya.-18/11/2013


No comments: