MYin4 - Memaparkan berita , video dan hiburan serta maklumat terkini dalam dan luar negara
Monday, 18 November 2013
Rakaman Sebenar Highland Tower
KELAINAN yang ditampilkan oleh Mikael Andre menerusi filem sulungnya yang berbentuk dokumentari seram berjudul Highland Tower nampaknya membuahkan hasil.
Segelintir daripada peminat menggemari cara penyampaian filem tersebut kerana ia digarap dengan menggunakan teknik penceritaan dokumentari tanpa bergantung kepada skrip semata-mata.
Namun, ada juga yang mengkritik hebat filem itu dengan mengatakan elemen-elemen seram yang dipaparkan adalah tidak benar dan kewujudan entiti di dalam filem tersebut merupakan lakonan semata-mata.
Ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem Kisah Paling Gangster baru-baru ini, Mikael jujur memberitahu bahawa 70 peratus babak daripada filem itu merupakan rakaman benar.
Katanya, hanya beberapa rakaman sahaja yang dilakonkan semula agar persembahan cerita tampak lebih kemas dan menarik.
“Sebagai pengarah dan pelakon filem Highland Tower, saya boleh pastikan bahawa lebih separuh babak dalam filem tersebut adalah rakaman yang kami dapat sepanjang tiga hari membuat pengambaran.
“Babak lakonan Atikah Suhaimi sebagai Cliper dirasuk adalah benar. Malah, babak-babak yang melibatkan suara-suara ganjil yang kedengaran juga adalah benar.
“Kelibat orang berjalan yang berjaya kami rakamkan juga adalah benar. Namun, saya tidak pasti adakah itu entiti atau hanya kelibat penagih dadah yang merewang di dalam bangunan itu,” jelasnya.
Anak kepada aktres Khatijah Tan itu turut berkongsi pengalaman seram yang dialaminya ketika sedang melakukan pengambaran.
“Terus terang, pengalaman yang paling menyeramkan adalah ketika melihat jelmaan saya sendiri muncul dalam rakaman yang telah dirakam, sedangkan pada waktu itu saya memegang kamera.
“Lebih menakutkan, jelmaan saya itu mirip wajah badut yang sedang tersenyum,” ujar jejaka ini lagi.
Menurut Mikael, walaupun terdapat banyak kelemahan dari segi teknikal, filem sulung pertamanya itu tetap mendapat sambutan yang memberangsangkan.
“Alhamdulillah, secara tidak rasmi, jumlah kutipan tiket untuk filem ini dianggarkan kira-kira RM3.5 juta.
“Ini menguatkan lagi semangat untuk saya berkarya pada masa akan datang,” katanya yang ingin terus meneroka tempat-tempat yang dikatakan ‘keras’ di seluruh negara bagi dijadikan sebuah lagi filem dokumentari.
Dalam pada itu, dia menaruh harapan yang tinggi melalui lakonannya dalam Kisah Paling Gangster.
“Kisah Paling Gangster merupakan filem kedua saya setakat ini. Walaupun judulnya tampak sedikit ganas tetapi jalan cerita dan teknik penceritaannya lebih menjurus ke arah permainan emosi.
“Dalam filem ini saya memegang watak sebagai anak kepada ketua kongsi gelap yang diberi tanggungjawab untuk membunuh musuh bapanya, iaitu ketua kumpulan kongsi gelap lain yang dianggotai oleh Remy, lakonan Shaheizy Sam,” katanya lagi.
Labels:
Hiburan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment