Monday, 18 November 2013

Pesawat Boeing Terhempas, 50 Terbunuh.

Sebuah Boeing 737 milik syarikat penerbangan domestik dari Rusia terhempas apabila cuba mendarat di lapangan terbang yang terletak di barat Tatarstan. Kesemua 50 penumpang terbunuh dalam kejadian tersebut, lapor Kementerian Situasi Darurat Rusia.

"Menurut maklumat awal, kesemua yang berada dalam kapal tersebut iaitu 44 penumpang dan enam orang anak kapal telah terbunuh. Tiada kanak-kanak dalam kalangan penumpang pesawat tersebut," kata jurucakap kementerian itu

Cawangan tempatan kementerian itu, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan lebih awal, memberitahu bahawa seramai 44 penumpang terbunuh apabila pesawat yang berlepas dari Lapangan Terbang Domodedovo di Moscow terhempas ketika melakukan pendaratan di bandar Volga, Kazan pada pukul 7.25 malam (1525 GMT).

Kazan merupakan ibu kota republik Tatarstan di Rusia.

Pesawat Syarikat Penerbangan Tatarstan 'terhempas di landasan dan terbakar'," ujar Jawatankuasa Siasatan Rusia dalam satu kenyataan.

Agensi berita tempatan melaporkan bahawa pesawat tersebut telah cuba untuk mendarat sebanyak tiga kali sebelum terhempas di landasan itu.

Keselamatan ruang udara di Rusia sememangnya satu isu utama berikutan kemerosotan kualiti perkhidmatan domestik yang teruk selepas kejatuhan Kesatuan Soviet.

Pegawai-pegawai kerajaan telah menyalahkan faktor kekurangan pengalaman pihak juruterbang dan penyelenggaraan syarikat penerbangan yang kurang baik telah meningkatkan kejadian seumpama itu di seluruh Rusia dalam tempoh dua dekad. - AFP

No comments: