Berhubung maksud hadis itu, Imam Nawawi berkata, susah hati kerana memikirkan hal dunia seperti khuatir tidak mendapat rezeki atau takut tidak mendapat diinginkan terhadap harta dan dunia boleh menjejaskan keimanan seseorang. “Bukankah Allah SWT sudah menjamin rezeki setiap makhluk-Nya? Apabila perasaan sebegini berterusan kekal, maka pada masa yang lama akan sampai ke tahap membahayakan iaitu benci Allah kerana tidak reda apa-apa ditentukan ke atas dirinya,” katanya.
Jadi, katanya, perkara paling penting bagi seorang hamba Allah ialah berikhtiar sedaya mungkin kemudian menyerahkan keputusan dengan penuh reda kepada Allah dan pada waktu sama sentiasa bersangka baik kepada-Nya.
Menurutnya, setiap orang layak mengadu hanya kepada Allah dan bukannya yang lain, malah mengadu kepada Allah itu adalah doa sedangkan pengaduan kepada sesama manusia petanda seseorang itu tidak rela dalam menerima bahagian daripada Allah.
Syariat hanya menganjurkan manusia memuliakan antara satu lain kerana kebaikan dan ilmu bukan kerana kekayaan dimiliki. Sesiapa yang memuliakan seseorang kerana harta kekayaan bererti dia menghina ilmu dan kebaikan.
Syeikh Abdul Qadir Jailani mengatakan: “Segala tingkah laku setiap Mukmin mestilah berdasarkan tiga perkara iaitu melaksanakan segala perintah, menjauhi larangan dan reda pada qadar (ketentuan Allah).
“Paling tidak, keadaan seseorang Mukmin itu tidak terlepas daripada salah satunya. Oleh itu, setiap Mukmin mesti tetap memerhatikan hatinya dan seluruh anggota badannya untuk melaksanakan tiga hal itu.” Dalam satu hadis lain, Abdullah bin Mas'ud RA meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: “Mahukah aku mengajarkan kamu kalimah diucapkan Nabi Musa AS ketika menyeberangi laut bersama Bani Israel?.” Kami (sahabat) menjawab: “Mestilah mahu, wahai Rasulullah.” Baginda bersabda: “Ucapkanlah; Ya Allah hanya untuk-Mu segala puji, hanya kepada-Mulah tempat mengadu, Engkaulah tempat minta pertolongan serta tiada daya upaya dan kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah Yang Maha Mulia dan Maha Agung.” Melalui hadis itu, kita dapat fahami orang beriman hanya mengadu nasib dan bergantung harap dengan Allah. Mereka dapat mengharungi sebarang halangan dengan mudah sehingga sukar dijangka orang lain. Sebab itu, janganlah kerana perkara dunia membuatkan kita berdukacita dengan sungguh-sungguh. Ingatlah pada Tuhan. Semuanya tiada lain, hanyalah cubaan untuk menguji tahap iman kita dan bersabarlah atas ujian-Nya.
Firman-Nya dalam surah al-Baqarah, ayat 214 bermaksud: “Adakah patut kamu menyangka kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang berlaku kepada orang terdahulu daripada kamu? “Mereka ditimpa kepapaan dan serangan penyakit serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah.”
No comments:
Post a Comment