Wednesday, 19 June 2013

Game Berunsur Ganas, Kanak-kanak Cenderung Bertindak Agresif


Remaja yang bermain permainan video berunsur ganas untuk tempoh beberapa tahun, didapati cenderung berkelakuan ganas terhadap orang lain, menurut satu kajian terbaru.
Penyelidik berkata, kajian itu adalah yang pertama menunjukkan kaitan jelas antara tempoh permainan video berunsur ganas secara berterusan dengan peningkatan kelakuan ganas.

Kanak-kanak perempuan yang bermain permainan komputer berunsur ganas semasa zaman persekolahan mereka juga didapati turut sama cenderung berkelakuan ganas seperti kanak-kanak lelaki.

Pasukan penyelidikan dari Universiti Brock di Kanada berkata, keputusan kajian itu agak 'membimbangkan'.
Pada masa yang sama, keputusan itu mengukuhkan lagi tanggapan bahawa permainan ganas dipercayai mewujudkan perbuatan ganas yang didapati sesuai untuk menangani konflik dan kemarahan.

Bukti menunjukkan bahawa mereka yang telah lama bermain permainan video berunsur ganas cenderung untuk bertindak balas secara ganas terhadap provokasi yang tidak disengajakan seperti terlanggar orang.

Hasil kajian itu dibuat setelah seorang koroner di sini, menggesa ibu bapa supaya menghentikan tabiat membenarkan permainan video yang biasa digunakan oleh golongan dewasa terhadap anak-anak mereka.

Desakan itu dibuat ekoran kematian Callum Green, 14, dari Stockport yang membunuh dirinya selepas bermain permainan video, Call of Duty yang memaparkan adegan ngeri iaitu tentera saling berbunuhan antara satu sama lain.

Malah, pelampau Kristian, Anders Behring Breivik yang membunuh 77 orang di Norway sebelum ini mendakwa dia telah bermain permainan Call of Duty bagi melatihnya untuk melakukan serangan berdarah itu.[utusan]

Permainan game adalah menyeronokkan tetapi jika menjadi tabiat lebih-lebih lagi yang berunsur ganas akan membawa kesan kepada personaliti seseorang. Fikirkan baik dan buruknya apabila memilih hobi anda.

No comments: