London: Orang ramai di sekitar London semalam terpukau dengan aksi terbaru ahli silap mata Dynamo apabila dia ‘terapung-apung’ di sisi bas dua tingkat, semalam. Penghibur kelahiran Bradford itu berada di kira-kira 4.6 meter di udara di sisi bas sambil menyeberangi Jambatan Westminster di London.
Sambil tersenyum ke arah kamera, Dynamo, 30, terus ‘terapung-apung’ sambil sebelah tangannya diletakkan pada bumbung bas berkenaan.
Dynamo - atau nama sebenarnya Steven Frayne - melakukan aksi itu dengan bantuan polis yang memastikan laluan digunakan bebas daripada sebarang kenderaan lain. Beberapa individu bertuah diberi peluang menaiki bas dua tingkat yang bergerak seiringan dengan Dynamo dan mereka kelihatan takjub dengan persembahan itu. Mereka juga tidak melepaskan peluang merakamkan aksi itu menggunakan kamera masing-masing. Aksi itu menarik perhatian kerana orang ramai gagal menjelaskan bagaimana Dynamo boleh ‘terbang’ begitu tanpa sebarang alat bantuan.
Dynamo kini menjadi wajah terbaru untuk promosi minuman Pepsi Max.
Sebelum ini Dynamo pernah memukau orang ramai dengan pelbagai helah unik, termasuk kemampuannya berjalan di atas air. Namanya menjadi sebutan pada tahun 2011 apabila dia ‘berjalan’ melintasi Sungai Thames sambil mempromosikan siri terbarunya di televisyen bertajuk Magician Impossible.
Di samping itu, dia juga pernah ‘mengapungkan’ selebriti Britain, Matt Lucas di depan orang ramai di Stadiuam Emirates dan menukar tiket loteri menjadi wang tunai di depan Robbie Williams serta Davina McCall. - Agensi
Amaran : Jangan meniru aksi ini.
No comments:
Post a Comment