“Dalam mimpi saya tumbuk bantal tetapi apabila terjaga, baru saya sedar tertumbuk lantai rupanya,” kata Mohd Harith Embong, 37, yang menjalani pembedahan memasukkan besi ke dalam buku lima tangan kanannya yang patah akibat cedera tertumbuk lantai rumah rakannya di Jalan Pusara, di sini.
Dia yang berasal dari Kampung Sri Bandi, Kemaman berkata, dalam kejadian jam 7 pagi Isnin lalu, dia menyambung tidur selepas solat Subuh di rumah rakannya itu.
“Sebaik menyambung tidur di ruang tamu itu, saya bermimpi menumbuk bantal dengan kuat sehingga tangan kanan terasa kebas.
“Kesakitan itu membuatkan saya terjaga daripada tidur dan ketika itulah baru saya sedar bukan menumbuk bantal tetapi lantai simen rumah.
“Lima rakan yang tidur di rumah itu terjaga sebaik terdengar bunyi tumbukan pada lantai dan mereka terus menghampiri untuk bertanyakan keadaan saya,” katanya ketika ditemui di Wad Ortopedik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), semalam.
Menurutnya, ketika itu tangannya terasa kebas dan dia terkejut apabila melihat buku lima di bahagian anak jari sudah tiada.
Pendawai elektrik itu berkata, bimbang dengan kejadian itu dia kemudiannya mendapatkan rawatan di HSNZ untuk rawatan lanjut.
Katanya, doktor memberitahu buku lima di bahagian anak jari tangan kanannya itu sudah patah dan terpaksa dimasukkan besi untuk merawat kecederaan itu Rabu lalu.
“Sebenarnya ini kali pertama saya bermimpi sehingga tercedera sebegini dan berharap ia kejadian terakhir yang menimpa saya,” katanya. -HM
No comments:
Post a Comment