Sekurang-kurangnya 38 orang maut selepas sebuah bas membawa penumpang termasuk beberapa orang kanak-kanak menjunam daripada sebuah jejambat lebuh raya di selatan Itali, kata pasukan penyelamat semalam.
Seramai 11 orang turut cedera dalam kemalangan terbabit.
Menurut anggota penyelamat, mereka berjaya mengeluarkan 33 mayat dari bas itu selepas insiden petang kelmarin.
Kejadian berlaku di jejambat lebuh raya A16 antara Naples dan Bari dekat pekan Avellino di daerah Monteforte Irpino, sekitar 50 kilometer di timur Naples. Tiga lagi mayat ditemui di bawah bas berkenaan.
Mangsa tercampak dari kenderaan itu apabila ia menjunam 30 meter ke bawah cerun.
Penumpang bas tersebut dalam perjalanan pulang ke Naples selepas menghadiri upacara keagamaan di Pietrelcina, selatan Itali.
Bas berkenaan dilaporkan dipandu secara laju. Beberapa saksi menyatakan bahawa kenderaan itu seperti mengalami masalah brek.
Media tempatan melaporkan, sekitar 50 orang berada di dalam bas tersebut dan kebanyakannya terdiri daripada kanak-kanak.
Menurut laporan, tiga kanak-kanak, empat wanita dan dua lelaki cedera parah. Mereka dimasukkan ke hospital di Avellino dan berhampiran Naples.
"Situasi adalah kritikal. Anggota kami berusaha menyelamatkan seberapa ramai mangsa," kata ketua pasukan bomba, Pellegrino Iandolo semasa memberitahu stesen televisyen, SKY TG24. - AFP
No comments:
Post a Comment