Walaupun golongan wanita lebih mudah untuk lari daripada berpuasa dengan memberi alasan ‘bendera merah’, kelakarnya, budak-budak lelaki pula lebih sibuk memikirkan alasan untuk berpuasa kononnya tak sihat badan, terlajak bangun sahur atau lebih klise, gastrik.
Selamba bagi penjelasan tanpa memikirkan umur sudah pun tua. Mana boleh bagi alasan sebegitu melainkan kalau ada surat pengesahan doktor. Setakat cakap gastrik, hari-hari pun boleh kena sakit pedih perut itu walaupun hakikatnya langsung tidak.
Terlajak bangun sahur lagilah dianggap melampau bagi dewasa lelaki tapi itulah realitinya yang kebiasaan kita dengar. Percaya atau tidak adalah soal kedua tapi lebih manis untuk disembangkan, kenapa boleh ponteng?
Berpuasa adalah tuntutan rukun Islam ketiga yang wajib dilaksanakan khususnya lelaki yang tiada alasan untuk bercuti. Kalau terpaksa atau darurat, perlu dibayar ganti cuti itu dengan berpuasa di bulan selepas Ramadan dan kemudiannya dikenakan denda berbentuk bantuan kepada fakir miskin.
Itu menunjukkan berpuasa adalah wajib dan asas kepada semua umat Islam.
Bagaimanapun isu tidak berpuasa atau ponteng daripada menjalankan tuntutan agama ini bukanlah asing. Cuba selak semula akhbar dan laporan berita setiap tahun di bulan Ramadan, ada saja kes orang tidak puasa ditangkap.
Restoran makanan segera, kedai mamak dan kedai serbaneka 24 jam menjadi pilihan segelintir ‘kaki ponteng’ puasa mendapatkan juadah berbuka awal dan sarang ponteng puasa.
Malah tahun lalu ketika rakan sepejabat melakukan tinjauan dengan menyamar sebagai pengunjung di sebuah pusat memancing di Kuala Lumpur, terkejut apabila mendapati majoriti kaki pancing selamba menghisap rokok dan minum tanpa mempedulikan keadaan sekeliling.
Menurut seorang kaki ponteng puasa ketika berbual dengan wartawan, dia mendapat tahu lokasi itu selamat untuk makan dan minum di bulan puasa daripada seorang rakan. Pada mula memang takut-takut, tetapi selepas beberapa tahun, kolam ini menjadi lokasi dia dan rakan-rakan menjamu selera di siang hari setiap kali bulan Ramadan.
“Abang jangan risau, tempat ini selamat. Abang hisap saja rokok, orang tak kisah kerana semua tak puasa,” katanya mengajuk pengusaha kolam memancing yang sememangnya mencari rezeki lebih dengan ‘cover line’ pelanggannya yang tidak berpuasa.
Kalau di kawasan kampung pula, kaki ponteng puasa menjadikan ladang kelapa sawit sebagai ‘port’ untuk makan dan minum. Ladang kelapa sawit di beberapa lokasi terpencil ibarat pesta kepada ‘kaki ponteng’ yang kebanyakannya pekerja ladang, pemandu lori, pekerja kilang berhampiran dan tidak ketinggalan budak sekolah.
Ada yang pernah mengaku tidak berpuasa dengan alasan penat kerana terpaksa bekerja di tempat yang panas dan menggunakan tenaga yang banyak. Lebih menariknya ketika dihampiri wartawan, mereka selamba dan yakin mengaku tanpa rasa bersalah.
“Dulu memang kita makan dalam ladang kelapa sawit kerana takut ditangkap, sekarang tak payah dah. Kita makan dan minum di kedai kopi saja. Penguat kuasa yang ada pada jabatan terbabit pun bukannya ramai sangat. Pemilik kedai akan memaklumkan kepada kami sekiranya mereka datang,” kata salah seorang mereka.
Sekilas pengetahuan jika ada yang terlupa, puasa secara bahasanya boleh diertikan sebagai ‘menahan diri’. Dari segi istilah syarak puasa bermaksud ‘menahan diri daripada makan, minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar sehingga terbenam matahari’.
Selain menjauhkan diri daripada makanan sepanjang tempoh berpuasa, kita juga sebenarnya dikehendaki menahan diri daripada menipu, mengeluarkan kata-kata buruk atau sia-sia, serta bertengkar atau bergaduh.
Ini kerana puasa adalah medan latihan memupuk kesabaran, kejujuran serta bertolak ansur dalam diri. Secara tidak langsung amalan puasa akan menyuburkan sikap murni di dalam diri pelakunya. Adalah menjadi harapan kita agar kesemua nilai yang baik ini akan terus dipraktikkan ke bulan-bulan berikutnya.
Sesiapa yang sudah pun melengkapi syarat wajib berpuasa iaitu berakal atau waras, baligh (cukup umur) dan berkemampuan dan tidak uzur adalah golongan wajib melaksanakan ibadat ini.
Pahala puasa Ramadan amat besar. Orang yang meninggalkan puasa dengan sengaja bukan saja melakukan satu dosa malah dia mengalami satu kerugian yang amat besar.
Bayangkan, satu hari puasa yang ditinggalkan tidak boleh ditebus dengan apa saja cara, tidak boleh ditukar ganti, sekalipun orang yang meninggalkannya berpuasa seumur hidupnya.
Justeru kenapa perlu tinggal puasa jika mampu meneruskannya? -HM
No comments:
Post a Comment