“Jika ditakdirkan dia sudah tiada, saya hanya berharap Allah SWT temukan saya dengan jasadnya,” rintih seorang kakak, Ajura Amaqmus, 25, apabila adik kesayangannya, Susisusanti yang berusia 15 tahun sehingga kini masih belum ditemui selepas lemas bersama seorang rakannya, Mohd Ramzi Ariyanto, 16, ketika mandi bersama empat lagi rakan mereka di Sungai Semantan, Kampung Kelubi, Mentakab, di sini, kelmarin.
Kedua-dua mangsa dari Taman Seri Netas Maju, Mentakab.
Difahamkan, ketika kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, enam sahabat terbabit masing-masing tiga lelaki dan perempuan ke sungai berkenaan untuk mandi, namun Susisusanti dikatakan ‘bermain’ air di tempat dalam.
Dipercayai, secara tiba-tiba air sungai di tempat gadis itu berada dikatakan ‘berpusing’ menyebabkan dia terkapai-kapai ditelan arus.
Melihatkan kejadian itu, Mohd Ramzi cuba menyelamatkan Susisusanti, tetapi tidak berjaya menyebabkan dia turut hilang bersama gadis berkenaan.- HM
No comments:
Post a Comment