Wednesday, 17 July 2013

Maksiat Si Anak Ustaz

KUNJUNGAN ke sebuah pusat beli-belah di Subang Jaya, Selangor tiga hari sebelum bulan Ramadan telah menemukan penulis dengan seorang rakan yang pernah menginap di asrama sebuah universiti kira-kira 10 tahun lalu.

Pertemuan itu tidak diatur sama sekali kerana jarang penulis membeli barangan keperluan di pusat beli-belah itu. Mungkin, pertemuan tersebut secara kebetulan.
Kami bertemu di sebuah restoran makanan segera di dalam pusat beli-belah itu.
Namun, semasa kami rancak berbual perihal kenangan di universiti dahulu rupa-rupanya Ahmad (bukan nama sebenar) mempunyai kisah hitam yang ingin dikongsikan dengan niat sebagai pengajaran kepada orang lain.
Ahmad mengaku dia kerap ponteng kuliah, tidak menunaikan solat dan jarang berpuasa sewaktu menuntut di universiti.
Kami menetap di asrama yang sama selama tiga tahun.
Ahmad sering menjadikan tandas sebagai lokasi untuk menghisap rokok semasa Ramadan.
Dia juga memasak mi segera di dalam bilik asramanya untuk dimakan semasa bulan puasa.
Ayahnya merupakan seorang imam di sebuah masjid di Taiping, Perak manakala ibunya pula pengetua sebuah sekolah tahfiz.
Namun, semasa kami enak memenjamu selera, ada cerita Ahmad yang lebih mengejutkan.
Dahulu
Lebih selesa menggelarkan dirinya dengan panggilan aku, lelaki bertubuh langsing itu menceritakan bahawa dia ponteng puasa serta tidak solat sejak bersekolah menengah lagi.
Walaupun memegang status zuriat kepada seorang ahli agama, dia buta al-Quran kerana tidak serius untuk mempelajarinya.
“Menunaikan solat secara berjemaah di masjid pun jarang. Bukannya ayah tidak pernah mengajak untuk pergi bersama-sama tetapi sebaik sahaja sampai di masjid, saya akan melencong ke tempat lain.
“Pada kebiasaannya, lokasi yang dituju ialah restoran atau rumah rakan. Malah, solat Jumaat boleh dikatakan tidak pernah ditunaikan,” terang Ahmad tanpa berselindung.
Ayahnya pernah mengupah ustaz untuk mengajarnya mengaji di rumah tetapi setiap kali sesi pengajaran bermula, pelbagai alasan yang diberikannya seperti tidak sihat.
“Saya hanya main-main (belajar mengaji) sehingga pernah lima orang ustaz diupah untuk mengajar tetapi semuanya tidak bertahan lama. Sebelum ini, ayah dan ibu saya ada mengajar al-Quran semasa kecil tetapi ibarat masuk telinga kiri keluar telinga kanan, tidak ada gunanya,” jelas Ahmad.
Dia juga sekadar berlakon semasa menunaikan solat di biliknya.
“Sebelum ibu atau ayah masuk ke bilik, saya akan berpura-pura baru selesai menunaikan solat walaupun anggota badan saya seperti wajah, rambut, kedua-dua pergelangan tangan dan kaki tidak basah.
“Mungkin, kerana status saya sebagai anak bongsu yang selalu dimanjakan (menyebabkan dia sanggup menipu orang tuanya),” kata Ahmad.
Sifat kasanova lelaki yang kini bergelar usahawan berjaya itu terserlah semasa sekolah menengah lagi memandangkan dia mempunyai ramai teman wanita.
Dia sering menonton wayang bersama teman wanitanya selain berkelah di kawasan rekreasi air terjun.
Tabiat itu pernah dikesan jiran-jiran kampungnya sehingga mereka melaporkan perbuatan itu kepada ayahnya.
“Ayah ada juga menegur dan saya berjanji untuk berubah tetapi, janji itu tidak pernah ditepati.
“Namun, sekarang saya sedar ada kebaikannya masyarakat menegur serta memberi nasihat jika kita melakukan perkara yang di larang agama,” tambah Ahmad.
Ironinya, kesemua kakak dan abangnya menuntut di sekolah tahfiz kecuali dia yang bersekolah harian.
Pengaruh rakan
Sebaik menamatkan pengajian dalam bidang kejuruteraan di universiti, nasib lelaki ini agak baik kerana dia diterima bekerja sebagai seorang jurutera tanpa perlu menganggur terlalu lama.
Malah, gaji yang diterima agak lumayan menyebabkan dia mampu menyewa sebuah kondominium di Lembah Klang.
“Saya tinggal bersama teman wanita selama beberapa tahun. Aktiviti harian kami ibarat suami isteri cuma tidak bernikah sahaja,” cerita Ahmad.
Malah, penghuni lain di kondominium itu kurang mengambil berat perihal jiran.
“Mungkin status mereka juga sama seperti saya,” katanya sambil tersenyum.
Mereka menjalani kehidupan seperti biasa selama beberapa tahun sehinggalah teman wanitanya itu disahkan mengandung.
“Saya panik kerana kami tidak berkahwin dan perlu bertanggungjawab. Akhirnya, saya mengambil keputusan untuk bernikah.
“Mujur selepas saya membawa teman wanita ke kampung, pihak keluarga saya bersetuju (untuk membenarkannya berkahwin) walaupun mereka berasa agak pelik kerana permintaan itu dibuat secara tergesa-gesa.
“Malah, mereka kurang menggemari penampilan bakal isteri saya ketika itu yang tidak menutup aurat,” ujarnya.
Ayah Ahmad menjadi jurunikah dalam majlis perkahwinan itu.
Namun, Ahmad sering merasakan ada kekosongan dalam hidupnya walaupun keperluan kebendaannya mencukupi.
Babak perubahan hidupnya bermula selepas ayahnya meninggal dunia.
Desakan isterinya yang sering meminta barangan mewah sehingga melebihi kemampuan kewangannya juga memeningkan kepala.
“Saya seronok melihat kakak dan abang walaupun mereka tidak mewah, kehidupan mereka lebih gembira.
“Mereka memakai pakaian yang menutup aurat selain dikurniakan anak yang soleh tetapi saya pula sebaliknya,” katanya.
Malah, Ahmad sering bermimpi dia dimasukkan ke tempat yang buruk seperti neraka.
“Mimpi itu muncul berulang kali menyebabkan saya agak ketakutan malah terdapat gambaran seperti arwah ayah sering muncul dalam mimpi dan menasihatkan saya supaya bertaubat.
“Saya juga kehilangan pekerjaan kerana majikan mendapat tahu saya sering meminta rasuah daripada pelanggan. Malah, kereta dan rumah saya hampir dilelong kerana saya tidak menjelaskan bayaran ansuran selama beberapa bulan,” katanya.
Akhirnya, Ahmad mengambil langkah drastik dalam hidupnya.
“Saya mula rajin ke surau dan meminta isteri untuk turut sama berubah. Pada mulanya dia terkejut sehingga kami hampir bercerai tetapi kerana kasihnya kepada saya, akhirnya dia bersetuju.
“Dia juga memakai pakaian yang menutup aurat dan bertudung. Selepas kerap ke surau, saya sering diminta menjadi bilal atau imam sedangkan saya buta al-Quran.
“Mujur, saya mempunyai abang ipar yang ikhlas untuk mengajar kalam Allah SWT sehingga jadi mahir sekarang,” katanya. -Kosmo



No comments: