Tuesday, 2 July 2013

Membongkar Rahsia Dalam Telefon



Apa agaknya alasan yang akan diberikan lelaki apabila teman wanita ingin melihat ‘isi’ telefon bimbit mereka? Pasti terlintas di fikiran seperti buat-buat lupa tak bawa telefon dan memberi alasan dengan menyatakan telefon kehabisan bateri.

Tentunya telefon adalah salah satu alat komunikasi canggih dengan pelbagai jenis perisian yang terdapat di dalamnya. Telefon juga dianggap mempunyai seribu satu rahsia kepada golongan lelaki. Mereka lebih cekap dalam menyimpan rahsia di dalam telefon agar tidak terbongkar.



Pelbagai ragam orang lelaki bila kekasih hati nak lihat telefon bimbit. Tambahan pula malam kelmarin, ada mesej daripada sahabat perempuan lama. Walaupun tidak menggunakan bicara yang mengundang pergaduhan namun mereka akan cuba mengelak agar kekasih tidak membacanya. Kenapa? 

Berani kerana benar, takut kerana salah. Jika sekadar mesej biasa seperti seorang kawan, lelaki seharusnya tidak perlu ada rasa bimbang untuk memberikan kekasih melihat telefon bimbit dan meneliti setiap inci kandungan di dalamnya.


Tambahan pula kalau secara tiba-tiba teman wanita ingin berkongsi telefon atau ingin meminjam telefon. Orang lelaki akan terkedu seketika seperti terkena kejutan elektrik. Alasan sangat mudah, terdapat banyak benda penting di dalamnya, sehinggakan lelaki tidak boleh berenggang dengan telefon walaupun sesaat.


Ketika bercinta remaja akan ada satu sikap untuk percaya dengan pasangan. Tidak kira lelaki atau perempuan, pasti mengalami sindrom ingin melihat telefon bimbit pasangan. 

Namun sindrom ini lebih banyak dihadapi oleh kaum perempuan. Teman lelaki yang berperwatakan kacak dan bergaya, pasti ada ramai peminat yang ingin mendekati, jadi akan ada mesej tertentu daripada perempuan lain. 

Perasaan curiga dan kurang percaya itu membuatkan golongan muda ini akan melihat dan memegang telefon bimbit pasangan ketika keluar bersama. 

Kalau setakat pegang saja boleh diterima lagi tetapi kalau setiap inci butiran telefon ingin diperiksa, makin parah sehingga teman lelaki di sebelah tak senang hati. 

Tambahan kalau jenis pasangan yang memang ada rekod curang, membuatkan teman wanita lebih berwaspada agar pisang tak berbuah dua kali. 

Ada ketikanya telefon tangan mereka amat sukar untuk dipegang dan diteliti. Awas, wanita harus lebih berwaspada agar tidak mudah diperdayakan oleh kaum jenis ini. 

Secara semula jadi wanita dilahirkan dengan naluri yang begitu kuat dan boleh menghidu setiap tingkah laku aneh pasangan. Oleh sebab itu, wanita akan sentiasa ingin membelek telefon peribadi teman lelaki. Tidak seperti lelaki ada ketikanya mereka tidak ambil kisah untuk meneliti telefon pasangan mereka. 

Apabila terdapatnya beberapa kesan yang mencurigakan, wanita akan terdetik untuk melihat telefon si dia. Malah mesej, gambar dan lagu yang disimpan di dalam telefon bimbit teman lelaki juga akan mereka teliti. Untuk apa? Sekadar mengambil langkah berhati-hati. 

Wanita juga akan melihat senarai nombor telefon rakan, mana tahu ada nombor telefon wanita yang mencurigakan. Perempuan akan berterusan bertanya, ibarat butir peluru yang ditembak ke arah pasangan mereka. 

Syak wasangka yang begitu kuat terhadap pasangan ada ketikanya membawa kebaikan seperti tidak mudah ditipu oleh teman lelaki dengan memasang skandal di luar pengetahuan. Misalnya bila berjauhan dan terasa sunyi, lelaki cenderung untuk mencari perempuan lain dan mula buat ‘perangai’. 

Kalau dilihat sudut yang lain pula, akan membuatkan teman lelaki berasa kurang dipercayai dan rasa diri dikongkong. Lelaki memang sukar untuk dikongkong dan akan membuatkan mereka rasa lemas dan rimas. 

Kaum Hawa, jika sudah melihat telefon bimbit teman lelaki dan terbaca mesej yang tidak enak, cubalah bertanyakan hal yang sebenarnya dan memintanya untuk berterus terang. Periksa terlebih awal kejujuran kata-kata yang akan dilontarkan nanti. 

Benar, telefon adalah hak eksklusif peribadi sendiri. Tidak perlu untuk orang lain melihat atau mempertikaikan apa dan tidak boleh berada di dalam memori telefon bimbit. 

Namun, telefon bimbit juga ada ketikanya menjadi punca pertelingkahan setiap pasangan yang bercinta. Jika ada dua atau tiga telefon juga menjadi satu isu besar buat mereka. Akhirnya hubungan menemui kegagalan. 

Orang lelaki terpaksa menahan telinga mendengar leteran kaum perempuan, lalu akan didesak untuk mengetahui punca lelaki mempunyai lebih daripada satu telefon bimbit. Adakah itu satu muslihat untuk curang? 

Lelaki harus tahu, wanita memang dilahirkan lemah dan mudah cair terutama jika lelaki kerap kali bermain mesej dengan mereka. Wanita juga mudah jatuh hati terhadap lelaki, walaupun sedia maklum lelaki itu sudah mempunyai orang lain. Kaum Adam seharusnya mengelak untuk bermain mesej dengan wanita walaupun hanya sekadar teman lama. 

Perempuan harus mengelak daripada berprasangka buruk kepada pasangan. Barangkali nombor telefon wanita lain di dalam telefon bimbit lelaki adalah kenalan perniagaan mereka dan rakan sepejabat. 

Asalkan tiada mesej tertentu yang boleh mengubah sangkaan perempuan terhadap teman lelaki, jangan nanti dilabel cemburu buta.


Enam tanda anda bakal ditinggalkan kekasih

1. Bila nak ajak keluar berduaan, pelbagai alasan diberikan. Kadang-kadang terasa tak logik pula alasannya. Pendek kata 1001 alasan yang diberikan dan ada yang tak masuk akal langsung. 

2. Masa sedang hangat bercinta sangat romantik. Mulut pula tak lekang dengan ungkapan sayang, cinta dan rindu. Malah membahasakan diri dengan perkataan yang manis seperti ‘baby’, ‘honey’ dan ‘darling’ tetapi kini sudah bertukar pula bahasa kau dan aku. 

3. Gambar anda tidak lagi menjadi barang berharga di dalam dompet atau bilik tidurnya. Lebih malang gambar anda itu dijumpai di bawah katil dan bonet kereta.

4. Bila keluar, mula membuat mimik muka kurang senang untuk berduaan dengan anda. Lebih banyak menggunakan isyarat angguk dan geleng saja bila disoal. Asyik melihat jam di tangan saja dan sentiasa dalam keadaan gelisah. 

5. Tangan sentiasa melayan telefon bimbit dan ada saja SMS masuk ke dalam telefon miliknya. Pelbagai alasan yang diberikan apabila ingin melihat telefon miliknya. 

6. Waktu yang paling si dia seronok adalah ketika berjauhan dengan anda dan perwatakannya juga serta-merta berubah daripada seorang yang pendiam kepada lebih periang. Baginya tanpa anda di sisi lebih menyeronokkan.

No comments: