Monday, 8 July 2013

Lisa Diarah Suami

SEJAK menjadi isteri kepada pengarah dan pelakon Yusry Abdul Halim, ternyata kemunculan Lisa Surihani sama ada di kaca televisyen atau layar perak agak berkurangan.

Berkesempatan menemuinya semasa pelancaran produk kecantikan terbaharu Garnier di Bangsar Village, Kuala Lumpur baru-baru ini, Lisa menjelaskan dia masih lagi aktif dengan kerjaya lakonannya.
Ujar Lisa, suaminya juga langsung tidak menghalang untuk dia terus berlakon, namun mengakui terpaksa menolak beberapa tawaran lakonan yang diberikan lantaran diberikan watak yang pernah dibawakannya sebelum ini.
Selain itu, dia mendedahkan bahawa buat julung-julung kalinya dia akan berlakon dalam sebuah filem yang diarahkan suaminya setelah pernah sama-sama berlakon dalam filem berjudul Ular sebelum ini.
Kosmo!: Lisa memberitahu akan berlakon dalam sebuah filem arahan Yusry, jadi boleh jelaskan lebih lanjut mengenainya?
LISA: Saya ingin meminta maaf kerana tidak boleh mendedahkan lebih lanjut mengenainya memandangkan pihak penerbit akan mengadakan satu sidang akhbar mengenainya nanti. Apa yang boleh saya beritahu bahawa filem tersebut akan diarahkan oleh Yusry dan penggambaran dijangka bermula selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.
Adakah anda menerima tawaran tersebut kerana ia diarahkan oleh suami sendiri?
Sebenarnya ia bukanlah faktor utama saya terima tawaran itu, sebaliknya saya agak tertarik dengan jalan ceritanya. Lagipun saya diberitahu Yusry akan mengarahkan filem berkenaan sewaktu saya dihubungi oleh pihak produksi.
Bagaimanakah pula kalau timbul dakwaan yang mengatakan tawaran itu diberikan kerana anda merupakan isteri kepada Yusry?
Untuk pengetahuan semua, dakwaan tersebut memang tidak benar sama sekali, malah saya juga tidak terus diterima untuk berlakon dalam filem tersebut. Sebaliknya, saya perlu menjalani sesi uji bakat bersama pihak produksi terlebih dahulu untuk melihat kesesuaian watak yang akan saya lakonkan nanti. Kalau saya gagal dalam uji bakat itu pastinya saya tidak akan diterima berlakon, meskipun ia diarahkan suami sendiri. -Kosmo

No comments: