Isteri Putera William, Kate Middleton selamat melahirkan bayi lelaki di Hospital St. Mary, Paddington di barat London kelmarin.
Anak sulung pasangan diraja itu juga bakal menjadi pewaris ketiga takhta kerajaan Britain selepas Putera Charles serta William.
William berada di samping Kate semasa dia melahirkan anak mereka pada pukul 4.24 petang waktu tempatan. Bayi tersebut seberat 3.8 kilogram ketika dilahirkan.
Satu kenyataan pejabat William, Clarence House menyebut, keluarga diraja Britain telah dimaklumkan mengenai kelahiran itu dan mereka gembira dengan berita tersebut.
"Kate dan anaknya sihat. Mereka berdua akan berada di hospital semalaman," menurut kenyataan berkenaan.
Nama bayi itu akan diumumkan dalam masa terdekat. Namun, sejumlah penerima taruhan menjangkakan nama George digunakan, diikuti nama James.
"Saya dan isteri amat gembira dengan kelahiran cucu pertama saya. Kami begitu teruja atas kelahiran anak lelaki William dan Kate," kata Charles dalam satu kenyataan.
Charles turut menyatakan bahawa beliau sangat berbangga dan gembira menjadi seorang datuk buat kali pertama.
Catatan mengenai pengumuman kelahiran bayi itu kemudian dipamerkan di papan buletin kecil di hadapan Istana Buckingham yang menjadi tradisi diraja Britain.
William dan Kate yang memakai gelaran Duke dan Duchess of Cambridge tiba di hospital sejurus sebelum pukul 6 pagi waktu tempatan.
Pasangan yang kedua-duanya berusia 31 tahun bertemu ketika menuntut di Universiti St. Andrews dan melangsungkan perkahwinan pada April 2011. - Reuters
No comments:
Post a Comment