Syarikat penerbangan komuniti, Firefly, dengan kerjasama Hotel GRV, sebuah hotel terkemuka di sini, telah menawarkan pakej istimewa bagi membolehkan orang ramai terutama umat Islam sama-sama merasai suasana menyambut Ramadan di Kelantan.
Ketua Pegawai Komersil Firefly, Azman Ahmad berkata, pakej yang berlangsung selama sebulan sepanjang Ramadan itu akan menawarkan harga serendah RM269 bagi penerbangan antara Subang dan Kota Bharu sahaja.
"Harga yang kami tawarkan itu bermula pada kadar RM269, RM389 dan RM429 bagi tempoh penginapan di Hotel GRV selama tiga hari dua malam yang semuanya hanya untuk bilik standard,” katanya pada majlis perasmian dan pelancaran sempena Iftar Ramadan di sini, hari ini.
Katanya, bagi pakej serendah RM269 itu bagaimanapun tidak termasuk bufet berbuka puasa dan bersahur di hotel itu.
Bagi pakej harga RM389, mereka boleh menikmati bufet berbuka puasa dan bersahur manakala RM429 itu termasuk penghantaran dari hotel ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa.
Azman berkata, tempahan untuk penerbangan itu telah bermula semalam sehingga 30 Julai yang membabitkan penerbangan bermula 12 Julai sehingga 22 Ogos depan.
Sepanjang Ramadan, hotel berkenaan menawarkan bufet Ramadan berharga RM38 bagi setiap dewasa dan RM19 bagi kanak-kanak berumur antara 5 hingga 12 tahun. - Bernama
No comments:
Post a Comment